OLEH: TENGKU MOHD HAMDAN BIN TENGKU IBRAHIM & ANIS FIRDAUS BIN ABD MAJID
a. Pernyataan Masalah
Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) dijalankan secara amali oleh kebanyakan guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam. Pendekatan yang digunakan ini dilihat mempunyai kelemahan dari segi penguasaan dan penghayatan di kalangan pelajar. Kajian ini dilakukan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam PAFA melalui kaedah penulisan, menimbulkan dan menyuburkan keinsafan untuk menghayati amalan kehidupan seharian dan mengenalpasti dan membimbing pelajar yang lemah dalam kefahaman dan amalan PAFA.
b. Metodologi Kajian
Metodologi
Kajian ini dilaksanakan berdasarkan Model Kemmis dan McTaggart (1998). Menurut model ini, kajian tindakan bergerak dalam satu kitaran yang berterusan melibatkan empat peringkat iaitu refleksi, merancang, bertindak dan memerhati. Rekabentuk kajian dijalankan secara cuba jaya dengan menggunakan pendekatan penulisan berbanding secara lisan sahaja. Pelajar diminta menjawab soalan pra ujian dan pos ujian mengikut format ujian sebenar. Kaedah temubual juga dilakukan terhadap pelajar dan guru untuk mendapatkan maklum balas kaedah ini.
Setting Kajian
Kajian ini dilakukan di dalam sesi pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam untuk satu waktu dalam seminggu selama 3 minggu.
Sampel Kajian
Kajian dilakukan ke atas 32 orang pelajar tingkatan 1 SMK Pantai Sepang Putra yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan 2 orang guru Pendidikan Islam di sekolah yang sama.
c. Pengumpulan dan Analisis Data
Data dikumpul berdasarkan markah pra dan pos ujian. Berdasarkan refleksi ujian PAFA yang telah dijalankan pada peringkat awal, pelajar diberikan ujian formal mengikut format sebenar. Hanya selepas seminggu ujian dijalankan, pelajar diminta menjawab soalan ujian yang sama. Didapati bahawa hanya 9 orang daripada 32 orang pelajar yang berjaya memberi jawapan terbaik. Selepas kaedah penulisan didedahkan, peningkatan kepada 16 orang pelajar mampu menjawab dengan baik berbanding kaedah lisan yang mereka gunakan. Melalui temubual yang telah dijalankan ke atas pelajar, dapatan kajian menyatakan bahawa kaedah penulisan secara tidak langsung mampu menguatkan ingatan pelajar terhadap PAFA berbanding secara hafalan dan lisan. Berdasarkan temubual guru pula, mereka berpendapat kaedah ini berkesan untuk mengetahui amalan PAFA oleh pelajar dalam kehidupan mereka.
d. Implikasi Kajian
Walaupun kaedah penulisan ini merupakan suatu kaedah yang biasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran, namun bagi pengajaran yang melibatkan hafalan adalah sesuai keadah ini dilakukan seiring bagi memantapkan ingatan pelajar. Di samping itu, pelajar juga dapat meningkatkan pemahaman mereka kerana sambil mengingat mereka perlu mencatat.
e. Apa Yang Dipelajari Daripada Kajian Ini
Kajian ini telah sedikit sebanyak membuka fikiran untuk melakukan anjakan paradigma dalam mengubahsuai pendekatan pengajaran kepada yang lain daripada biasa. Umum mengetahui PAFA dijalankan sebagai memenuhi keperluan dalam peperiksaan seperti PMR dan SPM dan tempoh masa yang diperuntukkan untuk menjalankan amali PAFA adalah terhad. Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar hanya sekadar menjalankan PAFA untuk lulus dan tidak menghayatinya. Maka, teknik yang diperkenalkan ini, sedikit sebanyak dapat memberi input yang besar kepada pelajar di samping dapat menanamkan keinsafan dan penghayatan dalam diri pelajar.
f. Cadangan Penambahbaikan
Teknik penulisan perlu diselaraskan untuk penilaian PAFA oleh sebab aras kebolehan pelajar dalam penguasaan ilmu adalah berbeza. Kajian ini memerlukan jangka masa yang panjang kerana PAFA hanyalah sebahagian kecil daripada sukatan pelajaran dan hanya dilaksanakan pada jangka waktu tertentu sahaja. Teknik ini juga perlu dipertingkat dengan lebih sistematik untuk membolehkan penguasaan dan pencapaian pelajar dapat diukur dengan lebih jelas.Seterusnya, kaedah penulisan yang diperkenalkan juga mestilah merujuk kepada aspek penguasaan ilmu yang praktikal dan berkait rapat dengan tujuan asal perlaksanaan PAFA.
g. Ulasan Pembaca
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji menepati konsep kajian tindakan. Dari segi penulisan tajuk harus diubah kerana lebih sesuai diletakkan kaedah berbanding objektif kajian. Maka, tajuk yang dicadangkan ialah Pelaksanaan Kaedah Penulisan dalam PAFA.
0 comments:
Post a Comment